15.1.18

Puisi Jam 12.55 Pagi

Aku kira
Selain matahari timbul pada waktu malam
Dan ikan paus berenang di atas awan
Antara hal lain yang mustahil ialah
Kau
Juga
Turut
Merindui
Aku

12.1.18

Kuala Lumpur Sedang Basah

Langit sedang bersedih
Hati pedih
Kaki letih
Jiwa bagai disembelih

Kerana matari beralih
Siang ditinggal kekasih

Apa esok masih?

15.9.17

Hari Malaysia

Esok lusa
Selepas asar
Usai dewasa
Walau hitam putih kulit kita
Waima berceongsam atau berkebaya

Tak kisah lah bila-bila masa
Tak kira lah berbeza agama atau bangsa
Kita semua anak malaysia

5.9.17

Upacara Tari-menari

Petang itu langit murung
Kemudian hujan turun

Aku lihat kucing sedang berlari
Lalu bersembunyi di bawah lori

Rambut kamu basah
Aku genggam tangan kamu
Lalu kita menari di dalam hujan

Petang itu langit murung
Hujan masih lagi turun

28.7.17

Ketika Hujan Turun Dengan Rakusnya Lewat Malam Jumaat

Malam ini
di atas sofa ini
izinkan aku bercumbu dengan kesepian
meraba tertib setiap inci kesunyian
merangkul erat jiwa kosong
memeluk ketat gundah gulana
membelai lembut rasa hangat celaka
dan selanjutnya..

Kau
faham
faham
sajalah

17.7.17

Pantun Pelangi Lima Kerat

Keretek di hujung jari
asap menari-nari
awak mana nak lari
meh lah sini
nanti saya bawa naik pelangi

4.7.17

Santapan Terakhir

Murung
terkurung
langsung tidak bertarung
yang tinggal cuma harung

Papan hitam penuh daki
pekat malam penuh tahi
berdiri di jeriji besi
menanti seutas tali
usai subuh nanti
tubuh ini pasti mati